Sabtu, 2 April 2011

Gol Safee Sali di Pelita Jaya FC





SALAM sejahtera dan bertemu kembali semua peminat di tanah air, pembaca Berita Harian dan mereka yang mengikuti perkembangan karier saya di Indonesia.

Alhamdulillah, saya selamat kembali ke Jakarta dari misi dua perlawanan Liga Super Indonesia (ISL) menentang Samarinda dan Bontang FC, kedua-duanya di Kalimantan Timur. Misi boleh dikatakan berjaya apabila tiga mata dibawa pulang dan saya menambah koleksi gol kepada tiga setakat ini. Kelab Pelita Jaya kini mengumpul 16 mata dari 16 perlawanan dan berada di tangga ke-14 liga daripada 15 pasukan.
Pengalaman di Kalimantan amat berharga dan mengajar saya erti tidak mudah berputus asa. Selepas tewas di Samarinda walaupun menguasai sepenuhnya perlawanan, kami menumpaskan Bontang FC dan menjarakkan diri daripada tangga terbawah liga.

Sebelum kembali ke Jakarta, saya dihubungi pengurus peribadi, Zakaria Rahim berkenaan tawaran stesen televisyen Trans 7 yang mahu merakamkan kehidupan saya di Jakarta. Selepas menetapkan hari dan masa yang sesuai, mereka tiba di rumah dan rakaman dilakukan.

Kemudian, secara mengejut, saya ditemukan dengan selebriti Opera Van Java, sebuah rancangan komedi operas Jawa berbentuk humor dan spontan yang paling popular di Indonesia dengan jumlah penonton tertinggi. Setiap episod mempunyai jalan cerita tersendiri dan disiarkan dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu. Anda boleh menontonnya menerusi YouTube atau secara langsung setiap hari jam 8 malam di laman www.mivotv.com.

Paling menyeronokkan dapat bertemu Sule yang tarafnya seperti Saiful Apek kalau di Malaysia. Bertemu Sule amat menghiburkan dan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan selepas mengharungi empat perlawanan liga yang sengit di sini.
Saya juga berharap dapat bertemu dengan Saiful Apek kerana saya meminati lawak spontannya. Komedi amat penting kerana mampu mengurangkan rasa tegang bagi ahli sukan seperti saya. Untuk pengetahuan, saya dan keluarga selalu juga mengikuti perkembangan Raja Lawak melalui YouTube.

Sekembalinya dari Kalimantan, saya meluangkan masa bersama keluarga yang ditinggalkan di Jakarta selama seminggu. Saya membawa mereka berjalan-jalan ke Ragunan, sebuah taman safari terbuka. Anak-anak cukup seronok dapat berjalan dan melepas rindu selepas berjauhan, begitu juga saya.

Esok kami akan meneruskan perjuangan dalam ISL bertemu Persijap, sebuah pasukan yang menduduki tangga ke-12 liga. Harap-harap kami menang tetapi ketika ini, kami amat bersemangat untuk memanjat carta liga atau klasemen di sini.

Perlawanan akan diadakan di stadium kami di Kerawang. Saya amat harapkan doa semua supaya perjuangan saya sebagai pemain negara tunggal di Indonesia ini dapat mengharumkan nama Malaysia.

Semoga bertemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular