Rabu, 11 Januari 2012

Jika mahkamah wibawa, kes patut dibuang sejak dulu

KUALA LUMPUR 10 Jan: Kelab Anwar Ibrahim (AIC) berpendapat jika benar mahkamah mempunyai kewibawaan, kes terhadap Ketua Umum KEADILAN itu sepatutnya dibuang sejak lama dahulu, kata Timbalan Presiden AIC, Julailey Jemadi.

“Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya.

“Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Dalam masa yang sama, AIC berharap agar pihak berkuasa bertindak untuk mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasar ke atas Datuk Seri Anwar, pada masa akan datang.

“Tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya,” tegas beliau.

Dalam pada itu katanya Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk memastikan negara bebas dari rasuah, salahguna kuasa dan kepincangan sistem tadbirurus.

“Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya,” kata beliau.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular