Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Julai 2010

Daging kambing tak bahaya kepada kesihatan


PERSEPSI negatif terhadap daging kambing perlu diubah. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Tanggapan bahawa orang yang menghidap penyakit seperti darah tinggi dan sakit jantung tidak dibenarkan memakan daging kambing adalah kurang tepat.

Pakar Makanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd Razak berkata, kandungan kolesterol dalam daging kambing adalah hampir sama dengan daging lain.

"Daging kambing tergolong dalam kumpulan daging merah seperti lembu, kerbau serta biri-biri dan boleh dikatakan kesemua jenis daging ini tidak banyak perbezaan kandungan kolesterol.

"Apa yang paling penting ialah pengambilan daging perlu dikawal dan dimakan dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan dan tahap kesihatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Shahriza, pandangan bahawa daging kambing tidak sesuai diambil oleh penghidap penyakit darah tinggi atau jantung hanya merupakan satu persepsi sehingga menyebabkan orang ramai takut untuk makan daging tersebut.

Katanya, tahap kesihatan seseorang individu itu boleh terjejas sekiranya daging yang dimakan tanpa mengira jenis diambil tanpa kawalan atau mengikut keperluan yang sepatutnya.

Sementara itu, Pensyarah Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Fatimah Arshad berkata, kandungan kolesterol dalam daging akan menjadi rendah setelah dibuang lemaknya.

Katanya, kandungan kolestrol dalam daging binatang terletak di dalam lemak dan sebab itu lemak yang terdapat pada daging perlu dibuang sebelum dimasak dan dimakan.

Rabu, 30 Jun 2010

Sperma Tidak Normal ( mandul )


oleh Suzan Ahmad

Kebanyakan lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah. Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan.



Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal, amat jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan. Namun apa yang memeranjatkan, kebanyakan kes atau kebanyakan kes yang dirujuk di pusat perubatan kesuburan membabitkan ketidaksuburan lelaki.

Wanita Dipersalahkan

Malah dalam kebanyakan kes, setiap kali keguguran berlaku wanita biasa dipersalahkan. Jika telur normal tetapi sperma pula tidak, 'kecacatan' sperma inilah yang boleh mengakibatkan keguguran. Kebanyakan lelaki di Malaysia sedar mengenai masalah ketidaksuburan, tetapi tidak mahu memandang serius mengenainya.

Akibatnya, si isteri yang datang bertemu doktor terlebih dulu untuk membuat pemeriksaan sebelum menerima berita yang lebih mengejutkan yang kadangkala tidak dapat diterima suami.


Ujian Sperma

Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal.

Antara persoalan yang diambil kira ujian sperma adalah seperti selepas satu jam, berapa peratusan sperma yang bergerak? Selepas 3 jam apa berlaku dan adakah sampel itu dijangkiti virus ?

Bilangan Sperma

Bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta bergantung kepada pusat perubatan kesuburan.

Apapun, bagi membolehkan wanita hamil, kita hanya perlukan satu sperma yang sihat saja. Kita perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu mempunyai bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90% adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50% daripadanya tidak normal.


Pergerakan Sperma

Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60% yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati.

Bentuk Sperma

Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan.


Faktor Tidak Normal

Penyebab utama dan paling biasa menyumbang kepada sperma yang tidak normal adalah tekanan. Ia agak subjektif untuk dibincangkan namun ada yang mengatakan bila kita dilanda tekanan bilangan sperma akan berkurangan.

Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap 1 mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa. Kajian mendapati lelaki yang dilahirkan sekitar 1960-an mempunyai jumlah sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan pada 1970-an.

Banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, rokok , urat darah varicocele dalam skrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol ,obesiti dan testis yang tidak normal.


Rawatan

Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal, pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya.

Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian beradas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI).

Cara Meningkatkan Sperma

* Amalkan gaya hidup dan diet semimbang ( sayur dan gandum).
* Bersenam.
* Kurangkan tekanan.
* Jaga berat badan.
* Berhenti merokok.
* Kurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol.
* Jauhi najis dadah.
* Jarakkan kekerapan ejakulasi (selang tiga hari).
* Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar.

Rabu, 2 Jun 2010

Masalah Perut Kembung/Berangin

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Selepas makan tengah hari, walaupun hanya sedikit makanan dijamah, perut rasa kembung dan tidak selesa. Pinggang seluar terasa mencengkam sehingga ada kalanya kancing terpaksa dibuka supaya perut tidak terus terseksa.



Ini antara gejala yang biasa dialami akibat masalah banyak angin dalam saluran sistem pencernaan atau usus. Biasanya perut lebih lega jika angin dapat dikeluarkan sama ada melalui sendawa atau kentut.

Bagi kebanyakan masyarakat, sendawa di depan orang masih boleh diterima tetapi individu itu dianggap kurang sopan jika 'terlepas angin'. Bukan saja orang sekeliling berasa kurang senang tetapi individu itu sendiri turut malu dan mungkin menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat!

Isu angin atau gas ini adalah isu semua orang, jadi tiada apa perlu dimalukan. Dianggarkan 7 atau 8 daripada 10 orang ada masalah ini.

Sistem Pencernaan

Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga 2 liter gas dalam sistem pencernaan setiap hari. Gas ini membabitkan beberapa jenis iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Oksigen, karbon dioksida dan nitrogen yang masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut (ketika kita menelan) adalah komponen paling besar. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut yang busuk disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Sendawa dan Kentut

Sendawa dan kentut adalah 2 fungsi badan yang penting untuk mengeluarkan gas ini, namun kebanyakan gas dikeluarkan melalui kentut. Yang membezakan ialah ada orang kentut lebih kerap.

Kentut antara 6 hingga 20 kali sehari adalah normal. Malah ada laporan mengatakan kekerapan kentut sehingga 25 kali sehari juga perkara normal walaupun ia mungkin mendatangkan rasa kurang selesa.

Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas ini menyebabkan ketidakselesaan.

Perut Kembung

Jika gas ini tidak dikeluarkan, ia menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup. Masalah biasa dialami hampir kebanyakan orang, terutama wanita. Selain itu orang tua,
pesakit kencing manis atau pesakit yang mengambil ubat yang boleh memperlahankan aktiviti usus juga kerap mengalami masalah ini.

Gas dalam usus datang daripada 2 sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil yang mana sebahagian daripadanya diserap. Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Namun bagi sesetengah orang, angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).

Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut. Ini kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul, menyebabkan seseorang berasa kembung dan tidak selesa.

Punca Masalah Angin

Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, antaranya :

* Tekanan — Individu yang tertekan/stres biasanya menelan lebih banyak angin.

* Kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras.

* merokok

* Makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat. Apabila kita makan terlalu cepat, kita tidak sedar menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk.

gigi
palsu tidak dipasang dengan baik juga menyebabkan seseorang itu menelan lebih banyak udara.

* Minum minuman berkarbonat. Kandungan karbon dioksida dalam minuman ini menghasilkan lebih banyak gas apabila ia menjadi hangat di dalam perut. Ia juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan.

* Makan makanan yang banyak lemak kerana lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut.

* Pemecahan makanan yang tidak tercerna - Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula , kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi makanan yang tidak diserap badan berpindah dari usus kecil ke usus besar yang mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana pada sesetengah orang. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.

Gejala

# Kerap buang angin — Secara purata kita buang angin kira-kira 10 kali sehari. Namun kekerapan ini boleh bertukar antara 6 hingga 20 kali sehari. Jika lebih daripada itu, ia dikira keterlaluan.

# Kerap sendawa — Sendawa selepas makan adalah perkara normal. Gas dikeluarkan apabila perut penuh berisi makanan. Bagaimanapun jika kerap sendawa, ia mungkin disebabkan seseorang itu menelan terlalu banyak udara dan melepaskan udara berkenaan sebelum ia sampai ke perut.

Sesetengah orang sengaja menelan udara untuk membuat mereka sendawa bagi melegakan ketidakselesaan perut. Kajian menunjukkan tindakan ini tidak memberi kelegaan, sebaliknya ia hanya menambah kandungan udara dalam perut. Ia boleh merangsang berlakunya masalah asid refluks iaitu aliran songsang asid dalam perut ke dalam salur makanan kerana asid gastrik di dalam perut tertolak ke atas ketika individu berkenaan cuba sendawa. Selain itu sendawa yang terlalu kerap mungkin menjadi petanda kepada masalah usus atas seperti ulser peptik atau asid refluks.

# Kembung — Keadaan ini boleh disebabkan oleh kehadiran angin dalam perut dan usus. Ia juga mungkin disebabkan jangkitan bakteria H pylori.

# Sakit perut atau rasa tidak selesa — Ia adalah masalah biasa tetapi kadangkala gejala ini boleh mengelirukan. Pengumpulan gas dalam usus yang menyebabkan kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus, sama ada di kiri atau kanan. Jika pengumpulan gas berlaku pada bahagian kiri usus, mungkin ditafsir sebagai penyakit jantung dan jika di belah kanan pula, ia menyerupai masalah batu hempedu atau apendiks.

Adakah Masalah Gas Berlebihan Satu Penyakit?

Tidak. Ia adalah masalah biasa yang dialami ramai orang dan boleh diatasi dengan melakukan beberapa perubahan seperti pemilihan makanan, cara makan dan bersenam. Bagaimanapun jika ketidakselesaan atau kesakitan berlanjutan, anda dinasihatkan agar berjumpa doktor supaya punca sebenar dapat diketahui.

Ini kerana jika masalah disebabkan jangkitan bakteria H pylori, ia perlu dirawat segera kerana bakteria yang mampu hidup bertahun-tahun lamanya pada persekitaran berasid dalam perut boleh menyebabkan ulser perut dan duodenum iaitu bahagian pertama usus kecil. Ia memberi lebih banyak masalah kerana individu itu boleh alami masalah sakit perut (pada bahagian atas), ketidakhadaman, kembung, pendarahan dalam perut akibat ulser dan berak berdarah (najis berdarah atau berwarna hitam yang menandakan kehadiran darah).

Berlebihan gas dalam usus juga mungkin menandakan beberapa keadaan lain seperti usus anda tidak aktif, ada masalah sistem perkumuhan atau usus mengandungi banyak bakteria yang menghasilkan banyak gas.

Rawatan

Rawatan untuk masalah banyak angin atau gas sangat mudah. Anda boleh beli ubat perangsang aktiviti usus di farmasi. Ia memudahkan pengeluaran gas daripada usus. Selain itu anda perlu lebih teliti ketika memilih makanan supaya masalah tidak bertambah teruk.

Jika masalah berlarutan, jumpa doktor kerana ia mungkin disebabkan jangkitan H pylori. Jangkitan bakteria ini boleh dirawat dengan pengambilan ubat antibiotik selama 2 minggu. Jangan biarkan masalah ini terus mengganggu hidup anda.

Makanan 'Bergas'

Antara makanan yang boleh menggalakkan penghasilan gas dalam usus ialah :

* Bunga kubis
* Kekacang
* Kubis
* Kubis Brussels
* Brokoli
* Bran
* Kebanyakan makanan berkanji (kentang, jagung, bihun, gandum). Beras adalah makanan berkanji yang tidak menyebabkan penghasilan gas
* Bawang
* Makanan bergoreng dan banyak lemak

Sila ambil perhatian juga dengan makanan-makanan berikut :

Serat

Kebanyakan orang beralih kepada pemakanan sihat dengan menambah pengambilan serat. Namun masalah gas berlebihan boleh berlaku jika mengambil terlalu banyak serat sama ada daripada bijirin (oat, bran atau gandum), roti mil penuh, bua buahan atau sayur sayuran.

Pada peringkat awal, pengambilan serat yang banyak akan menyebabkan rasa kembung tetapi masalah ini akan hilang perlahan-lahan dalam masa beberapa minggu. Bagaimanapun, ada juga yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan penambahan serat dalam diet mereka. Untuk mengelak masalah ini, anda perlu minum lebih banyak air supaya serat tidak terkumpul dalam usus. Serat boleh menyerap air dan mengembang beberapa kali ganda daripada saiz asal. Jika anda minum air secukupnya, serat ini menjadi lembut dan mudah dikeluarkan daripada usus.

Susu dan Produk Tenusu

Antara punca lazim menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan banyak angin ialah kekurangan enzim laktase yang bertanggungjawab mencernakan gula laktosa dalam susu dan produk tenusu. Ketiadaan enzim laktase menyebabkan laktosa yang tidak dicerna dipindahkan terus ke dalam usus besar dan melalui proses penapaian akibat tindakan bakteria. Dalam proses inilah banyak gas terhasil.

Buah-buahan dan Pemanis Makanan

Makanan manis mengandungi gula fruktosa juga boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus. Usus kecil kita hanya boleh menyerap fruktosa pada jumlah tertentu dan selebihnya masuk ke dalam usus besar dan menjalani proses penapaian seperti laktosa. Elak juga pemanis makanan seperti sorbitol kerana ia sukar diserap badan.

Penjagaan di Rumah

* Jumpa doktor gigi, pastikan gigi palsu betul-betul padan dengan gusi.

* Elak mengunyah gula getah atau mengulum gula-gula (terutama gula getah tanpa pemanis atau gula-gula dietetik yang mengandungi sorbitol).

* Hentikan pengambilan minuman berkarbonat dan kurangkan makanan yang tinggi kandungan sirap fruktosa jagung.

* Elak susu dan produk tenusu seperti keju lembut jika anda ada masalah tidak toleran laktosa. Sebaliknya, cuba susu yang gula laktosanya dipecahkan (rujuk pada label).

* Kurangkan makan makanan yang banyak menghasilkan gas seperti kubis, bunga kubis, kubis Brussels, brokoli, kacang dan bran. Beli ubat pelega gas daripada farmasi yang boleh membantu memecahkan karbohidrat dalam makanan yang tidak boleh diserap badan.

* Makan perlahan-lahan dan kunyah sehingga lumat sebelum ditelan. Apabila makan terlalu cepat, kita menelan banyak udara.

* Buat diari makanan untuk mengetahui makanan mana yang menyebabkan anda lebih cepat mengalami masalah ini.

* Minum banyak air masak, sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah liter sehari.

* Jangan makan terlalu banyak kerana ia juga menyebabkan penghasilan gas berlebihan selain masalah obesiti. Hadkan pengambilan makanan bergoreng dan berlemak.

* Banyakkan bersenam kerana senaman merangsang aktiviti usus supaya makanan yang tidak dihadam boleh dikeluarkan segera daripada badan.

Selasa, 20 April 2010

Ruam Panas


Satu lagi penyakit yang sangat sinonim dengan cuaca panas. Ia terjadi akibat pendedahan kepada suhu yang panas secara berterusan. Juga disebut miliaria. Masalah seperti urtikaria (gatal-gatal) dan tidak berpeluh juga termasuk sebagai ruam panas.

Biasa berlaku ketika musim panas terutama jika kelembapan tinggi. Keadaan ini boleh berlanjutan berhari-hari jika tidak dirawat dan memerlukan rawatan profesional andai peringkat serius.


Jenis-jenis Ruam Panas


* Jernih (miliaria kristalina)

* Putih/kuning (miliaria pustulosa)

* Merah (miliaria rubra)

* Dalam (miliaria profunda)



Risiko Ruam Panas


Semua orang terdedah kepada ruam panas. Namun mereka yang lebih terdedah kepada masalah ini adalah :


# bayi

# kanak-kanak berumur di bawah 4 tahun

# atlet atau individu yang berkerja di kawasan panas atau terik matahari

# Obesiti

# pesakit yang sukar bergerak (bed ridden)

# individu yang kurang atau tidak berpeluh secara kongenital (keturunan)

# pekerja ketenteraan



Punca Ruam Panas


Berlaku apabila liang peluh dan bulu roma pada permukaan kulit tersumbat. Kelenjar peluh dengan peluh yang terperangkap menyebabkan muncul benjolan kecil yang mengandungi air pada kawasan kulit.


Peluh manusia mengandungi garam yang tinggi, sangat berpotensi menyebabkan iritasi kulit dan ruam panas. Kerana itu pentingnya membasuh peluh dengan air dan sabun.


Simptom


Ruam panas biasanya muncul dalam bentuk benjolan kecil dalam jumlah yang banyak di bahagian folikel bulu roma. Di sesetengah kawasan, ia mungkin berwarna merah atau merah jambu.


Lebih teruk, ruam panas boleh menyebabkan iritasi teruk dan muncul tompok-tompok merah lebih besar dan gatal-gatal. Sesetengah individu mengalami ruam panas sangat gatal dan sesetengah pula tiada kesan tertentu.


Kawasan yang sering terjadi ruam panas adalah muka, leher, belakang , abdomen, kemaluan, di bawah dada, lipatan siku dan punggung.



Rawatan Profesional


Kebanyakan kes ruam panas pulih dengan sendiri tanpa rawatan doktor. Ruam panas yang berpanjangan perlu didiagnos melalui karakter kulit dan sejarah ruam sebelum ini. Ruam yang teruk memerlukan ujian mikroskopik atau biopsi kulit. Lain-lain ujian yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan sama ada jangkitan bakteria , ekzema atau jangkitan kulat.


Penjagaan Sendiri di Rumah


Kebanyakan ruam panas boleh pulih tanpa rawatan. Sesetengah kes pulih sehari selepas bertukar kepada kawasan yang lebih sejuk.


Langkah untuk penjagaan ruam panas :


1. Basuh kawasan ruam dengan sabun lembut. Kemudian bilas dengan air dan keringkan dengan tuala. Basuh beberapa kali setiap hari terutama selepas bersenam atau bersukan, berjalan jauh atau terdedah kepada matahari.


2. Duduk di kawasan yang sejuk (di bawah bumbung dan biarkan kulit bebas bernafas).


3. Mandi atau berendam dalam air sejuk.


4. Rehat dalam kawasan berpendingin hawa (21 hingga 22oC) sebagai terapeutik. Jika tiada alat pendingin hawa di rumah, boleh keluar bersiar-siar di kawasan mempunyai pendingin hawa.


5. Elakkan sentuhan kulit ke kulit di kawasan lipatan seperti bawah dada dan abdomen dengan meletakkan kain kapas atau material menyerap peluh.


6. Letak pek sejuk di kawasan yang mengalami ruam panas (jangan letak melebihi 20 minit dalam satu jam).


7. Gunakan ubat niacin.



Cara Mengelak Ruam Panas


* Pakai pakaian menyerap peluh seperti kapas.


* Elakkan penggunaan fabrik nylon dan poliester.


* Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan kering. Periksa lampin mereka dan tukar lebih kerap kerana bayi lebih mudah terkena ruam lampin.


* Air liur bayi yang meleleh mengundang penyumbatan folikel liang roma menyebabkan ruam panas.


* Individu yang terlantar sakit di katil perlu bergerak untuk mengelakkan peluh berterusan di kawasan yang sama.


Faktor Yang Memburukkan Ruam Panas


# Kelembapan tinggi


# Suhu tinggi


# Aktiviti jakuzi, sauna dan bilik stim.


# Demam


# Selaran matahari (sunburn)


# Berpeluh kerap


# Pakaian yang ketat dan fabrik tidak mesra pengaliran udara

Rabu, 27 Januari 2010

Tentang Bayi Demam ( info kesihatan )

Demam ialah satu cara badan kita melawan jangkitan. Makrofaj iaitu sel 'pembersih' dalam badan kita sentiasa dalam keadaan berkawal. Apabila mereka menemui sesuatu yang asing – seperti virus, bakteria atau fungus – mereka akan membersihkannya sebanyak yang mungkin. Pada masa yang sama, mereka akan meminta bantuan, memberi isyarat kepada otak untuk meningkatkan suhu badan. Haba akan secara langsung membunuh beberapa jenis bakteria. Ini juga akan meningkatkan penghasilan sel darah putih dan bahan kimia yang membunuh kuman.



Bayi selalunya akan demam selepas menerima imunisasi. Demam juga boleh diikuti dengan selsema, sakit tekak, jangkitan telinga , penyakit respiratori (seperti pneumonia, krup, penyakit ,virus dan jangkitan saluran urinari.

Apakah suhu badan yang normal bagi seorang bayi?

Demam merupakan suhu badan yang melebihi suhu normal badan. Suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah 36.5 darjah Celcius sehingga 37.8 darjah Celcius. Bayi mempunyai suhu yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang lebih besar. Sebab itu jika anda perasan, bayi kebiasaanya akan mempunyai badan yang panas. Secara amnya, bayi tidak dianggap demam kecuali suhunya melebihi 37.7 darjah Celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah Celcius pada waktu petang.


Bagaimana saya boleh tahu sama ada demam bayi saya ini serius atau tidak?

Apa yang lebih penting untuk diperhatikan adalah bukan suhu badannya sahaja tetapi kelakuan bayi itu sendiri. Sekiranya suhu badan bayi tersebut meningkat kepada 38.9 darjah celcius tetapi dia aktif, masih mempunyai selera makan dan menyusu dengan baik maka tidaklah perlu dirisaukan sangat. Tetapi jika suhu badannya hanya 38.2 darjah celcius dan dia tidak aktif, tidak ada selera makan, meragam dan sukar untuk ditenangkan maka bawalah bayi untuk pemeriksaan lanjut.

Jika suhu anak anda meningkat secara tiba-tiba, menyebabkannya menjadi pucat, kejang, bergerak menggerenyet tidak terkawal dan mungkin tidak sedarkan diri, dia sedang mengalami serangan yang disebabkan oleh demam, yang dikenali sebagai kekejangan febril. Ini amat menakutkan apabila dilihat tetapi ia jarang membahayakan bayi. Walaupun ia kelihatan berpanjangan, serangan ini selalunya berterusan hanya selama 20 saat dan jarang berlaku lebih dari 2 minit. Jika serangan berlaku lebih dari 4 minit, hubungi ambulans untuk membawa anak anda ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan dengan segera atau bawa bayi anda ke hospital.

Semasa anak anda mengalami serangan, jangan kekang bayi anda dengan apa-apa cara sekali pun. Longgarkan mana-mana pakaian yang ketat dan keluarkan sebarang benda dari mulutnya seperti puting atau makanan. Hubungi doktor anda apabila serangan sudah reda.

Bagaimana saya boleh mengesan demam?

Ibu bapa selalunya boleh tahu jika anak mereka demam dengan menyentuh atau mencium dahinya (kajian menunjukkan metod ini tepat sebanyak 75%). Gunakan termometer untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Jangan gunakan termometer oral (mulut) sehingga anak anda berusia 3 tahun.

Jika bayi anda masih terlalu kecil untuk anda menggunakan termometer oral, bacaan suhu boleh diambil dari ketiaknya jika dia demam. Pegang hujung bebuli termometer di ketiak bayi dengan sikunya rapat ke sisi selama lebih kurang 5 minit (termometer digital terbaru akan berbunyi bip apabila suhu telah diambil). Bacaan ketiak akan memberikan bacaan satu atau dua darjah lebih rendah daripada bacaan internal, jadi tingkatkan bacaan yang diambil.

Termometer telinga adalah cepat dan tepat untuk mengambil suhu anak anda tetapi harganya mahal dan memerlukan tangan yang stabil untuk mendapatkan bacaan tepat. Anda juga boleh menggunakan jalur demam yang anda letakkan pada dahi anak anda dan walaupun bacaannya kurang tepat, ia mudah digunakan ke atas bayi yang sedang beronta-ronta.

Apa yang boleh saya lakukan untuk merawat demam bayi saya?

Anda tidak perlu merawat demam kecuali anak anda berasa tidak selesa atau jika dia pernah mengalami kekejangan febril. Berikut adalah langkah-langkah merawat demam :

* Jika anak anda demam dan berusia lebih daripada 8 minggu, anda boleh berikannya Panadol yang khasnya untuk bayi dan kanak-kanak, untuk menurunkan suhunya. Ikuti arahan dos pengambilan dengan berhati-hati. Dos yang tepat bagi ibuprofen (Nurofen) juga boleh diberikan. Parasetamol dan ibuprofen tidak disarankan kepada bayi di bawah usia 2 bulan dan jangan berikan aspirin kepada bayi atau anak anda yang berusia di bawah 16 tahun yang dikaitkan dengan Sindrom Reye's, penyakit yang sebenarnya jarang berlaku tetapi boleh membawa kematian.

* Pakaikan bayi anda baju kain kapas yang nipis (jangan balut bayi anda untuk mengurangkan demam).

* Pastikan biliknya sejuk. Jika perlu, letakkan kipas berhampiran kot bayi dan gunakan sehelai cadar atau selimut nipis untuk menyelimutkannya.

* Berikan banyak cecair. Bayi kecil memerlukan lebih banyak air daripada biasa, iaitu susu badan atau susu formula . Jika anda sudah memberikan minuman lain kepada bayi anda, berikan lollipop ais, sup jernih atau jus buah-buahan telah yang dicairkan.

* Cuba mandian berspan. Letakkan bayi anda dalam tub mandi yang cetek dengan air yang suam dan gosokkan badannya, satu bahagian pada satu masa, dengan kain flanel atau span yang diperah sedikit. Jangan keringkan badan bayi anda - biarkan air tersejat sendiri. Ini mungkin membuatnya lebih selesa.

* Jangan letakkan bayi anda di atas katil sahaja. Walau pun dia tidak boleh terlalu aktif, aktiviti sederhana adalah baik.

* Jangan biarkan anak anda kelaparan - bayi yang sakit memerlukan banyak kalori dan cecair.

Jangan risau sangat. Sesetengah bayi mungkin demam dan berkelakuan seperti biasa. Bayi yang lain akan meragam sedikit tetapi dengan jagaan yang baik, bayi anda akan kembali sihat semula dengan segera.

Isnin, 31 Ogos 2009

Rawatan Tidak Membatalkan Puasa


oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Antara isu biasa yang timbul setiap kali Ramadhan ialah keengganan sesetengah pesakit mendapatkan rawatan kerana bimbang ia boleh membatalkan puasa.

Ada juga yang bertindak sebaliknya dengan menjadikan penerimaan rawatan sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Malah, ada pesakit berasakan mereka perlu membatalkan puasa apabila menerima rawatan. Bahkan di kalangan doktor, masih ada yang tidak pasti sama ada rawatan yang mahu diberi kepada pesakit boleh membatalkan puasa atau sebaliknya.



Sebenarnya Islam memberi kelonggaran untuk berbuka jika dengan berpuasa boleh mendatangkan mudarat atau memburukkan kesihatan pesakit. Tidak kira apa penyakit dihidapi, namun jika ia terkawal, individu berkenaan diwajibkan berpuasa.

Namun kumpulan ini, contohnya pesakit buah pinggang (yang perlu jalani dialisis), kencing manis dan asma yang teruk, diharuskan atau diwajibkan berbuka jika tahap kesihatan mereka merosot secara mendadak sehingga mengalami komplikasi teruk akibat tidak makan.

Kumpulan pesakit yang dikecualikan berpuasa ialah :

* Leukimia
* Kanser usus
* Kanser paru-paru
* Aids yang serius
* Meninggitis (jangkitan selaput otak)
* Pneumonia (jangkitan paru-paru)
* Jangkitan salur kencing
* Septisemia (pemusnahan tisu akibat kesan toksik bakteria dalam darah.
* Pesakit yang alami kerosakan buah pinggang (perlu dialisis)
* Asma yang teruk

Pun begitu, masih banyak isu menjadi persoalan pesakit, sama ada rawatan bakal diharuskan ketika berpuasa atau boleh membatalkan ibadat mereka. Antara persoalan ini ialah :

# Suntikan vitamin dan glukos
# Penggunaan ubat penyedut atau semburan bagi melegakan gejala asma
# Penggunaan oksigen
# Rawatan gigi
# Pemeriksaan dan rawatan mata serta telinga
# Pengambilan darah
# Pembedahan kecil

Isu bimbang mendapat rawatan ketika berpuasa tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi membabitkan semua umat Islam di seluruh dunia.

Kaedah Rawatan

Persidangan Akademi Fiqah Islam Antarabangsa yang berlangsung di Maghribi dan Putrajaya beberapa tahun lalu merumuskan, ada kaedah rawatan yang tidak membatalkan puasa.

Kaedah berkenaan ialah:

* Menitiskan ubat ke dalam mata, hidung, telinga dan membasuh telinga (selagi ia tidak ditelan)

* Meletakkan ubat di bawah lidah untuk rawatan sakit dada atau angin atau lain-lain penyakit dengan syarat ia tidak ditelan

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam rahim untuk tujuan rawatan dan pemeriksaan seperti alat mencegah kehamilan, supositori (penyediaan ubat dalam bentuk pepejal untuk dimasukkan dalam ruang tubuh), douching (semburan air untuk mencuci mana-mana bahagian tubuh) dan skop

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam salur kencing dan pundi kencing seperti ureteroskop dan radio-legap (bahan mengandungi iodin sebagai saluran untuk memberi warna kontras dan legap apabila menjalani radiografi yang menggunakan sinar-X) untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam usus untuk tujuan pemeriksaan, rawatan dan ubatan seperti supositori, radio-legap dan cecair bagi membersihkan usus

* Rawatan gigi seperti mencabut, menampal dan pembersihan gigi dengan tidak menelan apa-apa

* Berkumur-kumur atau menyembur ubat semburan ke dalam mulut tanpa menelan apa-apa

* Pemberian suntikan ubatan ke dalam salur darah (intravena) atau melalui kulit, sama ada di bawah kulit (subkutaneus) dan dalam otot (intra-maskular). Ini termasuk suntikan insulin bagi pesakit kencing manis

* Pengambilan oksigen. Ini kerana udara yang kita sedut juga adalah oksigen

* Pemberian bius (seluruh badan)

* Semua jenis ubat yang meresap ke dalam badan melalui kulit seperti krim sapu

* Memasukkan tiub dan radio-legap bagi tujuan angiogram (pemeriksaan pembuluh darah melalui sinar-X. Ia untuk melihat masalah salur darah tersumbat, biasanya bagi pesakit jantung. Untuk tujuan ini satu pewarna yang legap kepada sinar-X disuntik ke dalam salur darah untuk melihat imej salur darah)

* Memasukkan skop melalui badan bagi tujuan pembedahan dan rawatan seperti laparoskopi

* Biopsi hati dan lain-lain organ tanpa memasukkan cecair ke dalamnya

* Ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis seperti gastroskop (memasukkan alat skop ke dalam ruang perut) dengan syarat tidak memasukkan sebarang cecair ke dalam perut melalui alat itu

* Memasukkan peralatan atau pemberian suntikan ke saraf tunjang untuk tujuan pemeriksaan atau rawatan

* Menggunakan pam pelega (mengandungi semburan ubat) bagi pesakit asma, sama ada pam inhaler atau nebulizer. Penggunaan pam ini tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu adalah gas dan untuk tujuan rawatan

Bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak sedarkan diri ketika berpuasa (akibat kesan bius seluruh badan) ada dua keadaan. Berdasarkan Mazhab Shafie dan Hambali, jika seseorang itu pengsan dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dia dikira tidak berpuasa. Namun puasa seseorang itu masih sah jika dia hanya tidak sedarkan diri separuh hari.

Masalah gusi berdarah, hidung berdarah atau selesema pula dikategorikan sebagai masalah yang tidak dapat dielakkan dan ia dimaafkan. Puasa seseorang itu masih sah tetapi perlu memastikan darah diludah atau menghembus hingus. Berhati-hati jangan sampai tertelan kerana ia boleh membatalkan puasa.

Pun begitu, suntikan vitamin dan glukos membatalkan puasa kerana memasukkan makanan ke dalam badan. Vitamin adalah makanan tambahan, manakala glukos pula ialah gula ringkas yang boleh mengembalikan tenaga.

Bagi yang memerlukan rawatan sepanjang Ramadhan ini, usah menangguhkannya kerana dikhuatiri penyakit bertambah teruk.

Berpuasalah selagi terdaya kerana secara kajian sudah membuktikan ibadat ini boleh memperbaiki tahap kesihatan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular