Isnin, 12 Disember 2011

Pembelaan mahu Saiful, DPP Farah dipanggil semula

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diminta menangguhkan keputusan dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dan pengadu kes, Mohd Saiful Bukhari Azlan dipanggil semula sebagai saksi.

NONE
Menurut peguambela utama, Karpal Singh, tindakan itu bagi menjawab dakwaan tentang hubungan kedua-dua mereka yang perlu dilakukan di bawah Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi memastikan keputusan yang adil.

"Mahkamah ini perlu ditangguhkan untuk membolehkan PW1 dipanggil semula dan Farah Azlina juga dipanggil di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan untuk memastikan keputusan yang adil untuk kes ini," kata Karpal.

Karpal berkata Mohd Saiful dan Farah Azlina perlu dipanggil semula kerana sehingga kini kedua-dua mereka belum menafikan hubungan mereka.

"Peguam Negara hanya menjelaskan kedudukan Farah Azlina pada 11 November 2011 selepas peguam bela menamatkan hujah pada 18 Oktober 2011," kata Karpal.

Mengulas lanjut, katanya, hubungan mereka dilihat mempunyai potensi bagi membolehkan Saiful mendapatkan akses kepada kertas pendakwaan.

Justeru, dakwanya, Saiful mungkin mengubah keterangan sepanjang perbicaraan berdasarkan kertas pendakwaan.

NONE
Selain itu, hujah Karpal, saksi pembelaan, pakar ortopaedik, Dr Thomas Hoogland dalam keterangannya menyatakan bahawa adalah mustahil bagi Anwar melakukan aksi seks seperti yang didakwa oleh Mohd. Saiful kerana masalah tulang belakang ketua pembangkang itu.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pembelaan dalam kes liwat yang dihadapi Anwar di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008 dan dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular