Selasa, 27 Disember 2011

Pergi Mahkamah Bawa Dadah

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 41 tahun yang hadir di mahkamah, Khamis lalu untuk perbicaraan kes dadah disifatkan tidak serik dan insaf apabila didapati membawa heroin dan methamphetamin dalam poket seluarnya.

Namun taktik licik tertuduh, Mohd Tolaha Jaafar dari Jalan Sultan Mahmud di sini, yang dikenakan hukuman denda oleh mahkamah atas kesalahan dadah terbongkar apabila polis menemui dadah berkenaan ketika melakukan pemeriksaan terhadapnya.

Akibatnya, Mohd Tolaha sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua tuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah. Tertuduh yang memakai baju lokap ungu mengangguk faham ketika kedua-dua tuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 1.4 gram di tingkat dua, Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu jam 10.15 pagi pada 22 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mohd Tolaha juga didakwa mengikut seksyen sama kerana methamphetamine seberat 0.35 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Nor Azizah menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh diserahkan kepada anggota polis cawangan pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk dimasukkan ke dalam lokap sementara di kompleks mahkamah berkenaan sebelum dihantar bagi menjalani hukuman di penjara. Sebelum itu, tertuduh yang hadir bagi perbicaraan kes dadah dijatuhi hukuman denda sebelum dia memilih dipenjarakan selepas gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, tertuduh diarahkan anggota polis cawangan pengiring IPD Kuala Terengganu, Koperal Alias Abdullah mengeluarkan semua barang yang ada di dalam semua poket sebelum dimasukkan ke dalam lokap sementara berkenaan. bKetika itu, tertuduh mengeluarkan satu bungkusan plastik daripada poket seluar dan pemeriksaan menemui dua tiub mengandungi heroin dan methamphetamine sebelum Mohd Tolaha ditahan untuk tindakan lanjut.

Credit – Metro Online

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular