Tindakan sekumpulan Pemuda Umno berkumpul di depan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya malam tadi serta mengugut untuk membakar bangunan pejabat tersebut disifatkan sebagai samseng politik yang begitu terdesak hingga sanggup mengupah remaja untuk membuat kekacauan.
Demonstrasi yang diadakan dalam suasana hingar bingar itu turut melibatkan kira- kira 300 pemuda dengan berpakaian merah berlambang "Patriot" serta bermotosikal.
Kesemua mereka juga lengkap dengan bendera UMNO dan melaung slogan mengutuk PKR serta mendakwa PKR sebagai dalang di belakang himpunan Bersih 2.0 itu sekali gus mendesak parti itu agar menarik balik sokongan mereka ke atas perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai depan.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang bekejar ke ibu pejabat parti setelah dimaklumkan oleh ahli-ahli parti berkata beliau tiba pada jam 11 malam semalam dan memantau dari jarak jauh.
"Himpunan samseng-samseng upahan pemuda Umno ini sekadar menemplak kembali ucapan Perdana Menteri Najib semalam yang memberi amaran yang sekiranya pada 9 Julai nanti maka BERSIH 2.0 lah yang akan dipersalahkan.
"Tetapi yang jelas, perbuatan samseng pemuda Umno hari ini (malam tadi) di ibaratkan seperti "menepuk air didulang terkena muka sendiri" bahawa perbuatan ganas itu datangnya dari pemuda Umno yang presidennya adalah Najib..paradoks sebenarnya.
Ketika Ketua Pemuda Umno kini dalam misi membela rakyat Palestin yang diganasi oleh Israel, tetapi anak- anak buah yang ditinggalkan pula bertindak ganas dan samseng. Ini satu paradoks yang perlu dijawab oleh ketua pemuda Umno dan presidennya," tegasnya lagi.
Malah tegasnya, dalam tempoh 24 jam beliau mahu melihat sejauh mana kecekapan pihak berkuasa menangani politik samseng Umno-BN setelah laporan polis dibuat oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip malam tadi.
"Walau apapun motif mereka, kita tahu negara ini ada undang-undang ada peraturan. Seperti mana polis berkali-kali memberi amaran kepada penyokong Bersih 2.0 jangan melanggar undang-undang dan jangan ingkar undang-undang.
Bola sekarang dikaki pasukan PDRM, kita nak tengok dalam keghairahan polis memanggil pemimpin PR dan penganjur BERSIH 2.0 seperti esok (hari ini) yakni Nurul Izzah, Azmin, N Surendran dan beberapa lagi pimpinan yang telah menerima notis untuk memberi keterangan," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, beliau pelik mengapa pihak berkuasa hanya mampu menutup mata ketika kira-kira 300 pemuda Umno terbabit berarak menuju ibu pejabat PKR itu.
"Pada mulanya kumpulan ini dikesan oleh beberapa ahli PKR di stesen minyak Batu 3, Shah Alam lalu memasuki lebuhraya menuju ke Ibu pejabat PKR.
Ada beberapa perkara yang aneh disini, itu satu laluan yang panjang dan jauh namun perarakkan besar-besaran seperti itu dengan membawa panji-panji parti (UMNO) dan boleh melewati jalan-jalan utama yang lagi sibuk tanpa sebarang halangan daripada pihak berkuasa," ujarnya.
Dalam pada itu, Rozan ketika dihubungi Tvselangor berkata semangat juang AMK tidak akan tergugat, meskipun pelbagai usaha dan tindakan jahat yang dilakukan oleh Pemuda UMNO terhadap parti itu.
Malah tegasnya, provokasi murahan yang dilakukan pemuda Umno itu hanyalah mahu mengalihkan fokus mereka terhadap perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan.
"Satu tindakan provokasi murahan di mana AMK tidak langsung hilang fokus terhadap kami punya usaha untuk meneruskan perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan," katanya kepada Tvselangor.
Menurutnya lagi, AMK turut menggesa pihak polis menjawab beberapa persoalan mengenai provokasi yang dianjurkan malam tadi apabila pihak polis dilihat hanya berpeluk tubuh dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang menyertai himpunan itu.
Tambahnya, beliau turut mendesak supaya pihak polis menyiasat laporan yang dibuat AMK di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan Ugutan Jenayah dan bukan di bawah perhimpunan haram.
"Kami menggesa pihak polis segera mengambil tindakan yang sewajarnya seperti mana yang kami telah membuat laporan malam tadi," tegasnya.
Jelasnya lagi, AMK juga kesal kerana Umno-BN begitu teresak hingga sanggup mengupah samseng politik dari kalangan remaja untuk membuat kekacauan.
Malah, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa perhimpunan ini dibiayai sepenuhnya oleh Umno-BN.
"Kami amat yakin mereka ini dibayar dan perhimpunan ini adalah yang terancang kerana mereka memakai t-shirt Patriot dan melibatkan kos yang tinggi dan apatah lagi rata-rata mereka di bawah umur yang tidak mempunyai wang," tambahnya. tvs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan