Isnin, 10 September 2012

Rafizi mohon gugur tuduhan dedah akaun NFC



Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menggugurkan tuduhan mengikut Seksyen 97 Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) yang dihadapinya ekoran siri pendedahan melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).

Peguam N Surendran yang mewakili Rafizi berkata permohonan itu dibuat antara lain kerana "seluruh prosiding itu adalah penyalahgunaan kuasa pendakwa raya yang mahu memuaskan hati tuan politik mereka".

"Ia juga menentang polisi awam kerana apa yg dibuat Rafizi adalah mendedahkan salah guna dana rakyat," kata Surendran sewaktu bercakap kepada pemberita di luar mahkamah.


Menurutnya lagi, permohonan menggugurkan kes itu adalah mesej jelas dari mereka kepada perdana menteri agar tidak menyalahgunakan sistem perundangan untuk menekan pembangkang daripada mendedahkan salah laku kerajaan.

"Kita mahu buktikan yang mahkamah tidak akan membiarkan sistemnya disalahguna kerajaan untuk menindas personaliti dari pembangkang," katanya.


Mengulas lanjut mengenai permohonannya hari ini, Rafizi berkata, ia akan menjadi ujian ke atas peruntukan undang-undang dalam mendedahkan salah laku kerajaan.

"Kalau kita tak bawa ke peringkat lebih atas untuk digugurkan, sistem undang-undang kita akan digunakan untuk menghukum mereka yang mendedahkan salah laku kerajaan.

"Kesannya pada masyarakat, ia akan menakutkan pendedah maklumat pada masa akan datang," katanya.

Rafizi dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 1 Ogos lalu atas dakwaan mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan pengerusi syarikat tersebut, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail.
Kes berkenaan sepatutnya disebut di di mahkamah berkenaan hari ini namun ditangguhkan ke 10 Oktober.
Hakim Aslam Zainuddin memutuskan demikian bagi memberi peluang kepada Mahkamah Tinggi untuk menimbang permohonan yang difailkan Rafizi hari ini.

Rafizi didakwa mendedahkan akaun kewangan berkenaan, di bawah Public Bank kepada dua wartawan, seorang daripadanya Erie Martin Carvalho dari The Star.

Beliau didakwa berbuat demikian di ibu pejabat PKR pada 7 Mac lalu.

Akaun berkenaan dikenalpasti sebagai akaun pelanggan NFC, Meatworks and Livestocks Sdn Bhd, Agroscience Sdn Bhd dan akaun Mohd Salleh sendiri.

Turut didakwa bersamanya adalah bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad yang didakwa bersubahat di bawah Seksyen 112(1)(c) akta sama.
Mereka berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM3 juta jika sabit kesalahan.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular