Jumaat, 21 Ogos 2009

TAZKIRAH RAMADHAN



RAMADHAN AL MUBARAK

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang istimewa berbanding bulan-bulan lain sepanjang tahun. Sepanjang bulan ini umat Islam semuanya berpuasa kerana ia adalah kewajipan keatas setiap orang Islam yang telah cukup syarat-syarat wajib berpuasa. Ia adalah satu daripada rukun Islam yang lima. Para sahabat Rasulullah SAW apabila tiba Ramadhan mereka sangat gembira. Wajah mereka ceria menanti Ramadhan. Ini adalah kerana mereka amat memahami kemuliaan Ramadhan.

Natijah kemuliaan Ramadhan ialah taqwa. Taqwa adalah keperluan setiap orang Islam. Taqwa adalah bekalan yang sangat penting bagi setiap muslim itu untuk taat kepada Allah SWT. Walaupun ilmu itu sangat penting, tetapi tanpa taqwa seseorang muslim yang berilmu itu akan gagal mentaati Allah SWT secara sempurna. Secara ringkasnya taqwa adalah rasa takut kepada Allah SWT yang tertanam kukuh dalam hati. Taqwa adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang terpilih. Oleh itu kita sangat mengharapkan Allah SWT memilih kita sebagai hambaNya yang bertaqwa.

Madrasah Ramadhan adalah satu sistem tarbiyyah yang lengkap serta sempurna kearah melahirkan graduan yang bertaqwa. Marilah kita menghayati secara ringkas kehebatan madrasah Ramadhan dalam mentarbiyyah umat Islam secara lengkap dan sempurna. Diantara tarbiyyah yang dimaksudkan ialah :

1. Bermulanya puasa Ramadhan dengan melihat anak bulan. Bagi insan yang meyakini Rububiyyah Allah SWT, perintah melihat anak bulan adalah petanda yang jelas bahawa setiap orang Islam sebelum berpuasa Ramadhan mestilah menyedari dirinya adalah makhluk yang sangat kerdil dibandingkan dengan alam cakrawala ciptaan Allah SWT. Menyedari betapa kerdilnya kita disisi Allah SWT adalah asas penting menuju taqwa. Terputusnya hubungan hati yang sangat asas ini adalah benteng yang menghalang kita untuk takut dan mentaati Allah SWT. Menyedari diri kita adalah didalam genggaman kekuasaan Allah SWT sudah cukup sebagai perisai bagi menghadapi segala cabaran/rintangan hidup dalam perjalanan menuju keredhoan Allah SWT.

2. Puasa mendidik serta menyuburkan sifat ikhlas dalam hati kita. Ikhlas adalah nilai sesuatu amal. Tiada nilai disisi Allah SWT sesuatu amal itu walaupun seluruh penghuni alam ini memujinya. Puasa adalah rahsia diantara hamba dan Tuhannya. Semasa berpuasa kita dilatih supaya menjaga dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa walaupun ketika bersendirian. Kita dididik walaupun bersendirian, Allah SWT sentiasa melihat kita.

3. Ibadah puasa mendidik kita dengan keperluan mujahadah. Perjuangan memerangi keinginan hawa nafsu dan keselesaan tubuh badan memerlukan suatu keazaman yang kuat dalam diri setiap muslim. Puasa membentuk kekuatan hati dengan menahan diri dari melakukan perkara yang halal sepanjang Ramadhan. Ini dapat membantu kita menjauhi segala yang haram sebelas bulan berikutnya disepanjang tahun.

4. Puasa menghiasi orang-orang yang berpuasa dengan satu kemuliaan iaitu sabar. Sabar adalah sifat yang sangat penting bagi menghadapi cabaran hidup yang singkat ini. Sebarang godaan atau ancaman akan dapat dihadapi dalam perjalanan menuju keredhoan Allah SWT.

5. Puasa menghiasi orang-orang yang berpuasa dengan sifat lemah lembut, penyantun dan dapat menahan marah. Tiga sifat yang dapat menyelesaikan banyak masaalah kehidupan manusia. Sifat ini adalah penawar mujarab bagi mengubati kedegilan, kelalaian serta kejahilan manusia. Ia adalah sifat Rasulullah SAW yang telah berjaya merubah masyarakat jahiliah arab kepada Islam.

6. Puasa menyuburkan sifat pengasih. Mengasihi faqir miskin. Pemurah kepada yang memerlukan pertolongan. Tidak menangguh-nangguh untuk membantu kepada yang memerlukan. Prihatin dengan golongan yang kurang bernasib baik. Perasaan ini akan lebih subur bagi orang-orang yang dilatih berlapar. Zakat fitrah pula pelengkap untuk memperkuatkan ikatan kasih sayang serta belas kasihan.

7. Didikan mengosongkan perut dari makan dan minum juga membentuk jiwa yang kuat hubungannya dengan Allah SWT. Oleh itu seseorang akan lebih ringan beribadah dibulan Ramadhan seperti membaca Al Quran, zikir, istighfar, doa serta taubat.

8. Puasa mengajar orang-orang yang berpuasa merasai kegembiraan yang hebat. Iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

9. Puasa melatih kita menjaga waktu dan janji. Kita berhenti makan pada waktu yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kita berbuka juga pada waktu yang ditetapkan oleh Allah SWT. Menepati masa(punctuality) dalam setiap usaha atau perjumpaan adalah budaya cemerlang dalam kehidupan. Menepati masa menjimatkan masa serta tidak membuang masa orang lain.

10. Pakar-pakar perubatan mengakui berdasarkan ilmu perubatan banyak penyakit dapat diubati dengan berlapar. Puasa dapat menyelesaikan masalah-masalah penyakit yang berpunca dari perut.

11. Puasa memperkuatkan ikatan jamaah dalam jiwa setiap umat Islam. Seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan warna kulit serentak berpuasa. Mereka adalah umat yang satu. Umat pilihan Allah SWT.

Sekiranya puasa Ramadhan dihayati secara sempurna insyaAllah tamat sahaja sebulan berpuasa maka taqwa bertapak kukuh pada diri kita. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”
(Al Baqarah : 183)

Bersama-samalah kita merebut peluang keberkatan Ramadhan pada tahun ini. Semuga Allah SWT melimpahkan taufiq dan hidayahNya kepada kita dengan keampunanNya serta anugerah taqwa yang sangat berharga itu.

[Petikan dari tulisan Al marhum Ustaz Mustafa Masyhur : Bekalan Didalam Perjalanan Da’wah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular