Ahad, 18 Disember 2011

Malaysia Pinjam US$300J (1998), US$244J (1999) Dari Bank Dunia

SHAH ALAM, 18 DIS :Butiran yang tercatat dalam laman web Bank Dunia mencatatkan Malaysia telah memperoleh pinjaman sebanyak US$300 juta (anggaran RM1 bilion) pada 1998 dan US$244 juta (RM800 juta) pada 1999 kepada badan kewangan dunia tersebut.

Butiran tersebut bertepatan dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyangkal kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia menolak bantuan dari Bank Dunia ketika nagara berhadapan krisis ekonomi dunia pada 1998.

Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu mantan Perdana Menteri itu semberono memfitnah Dato' Seri Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekaligus agen Barat.

Menurut Laman Web Bank Dunia (http://go.worldbank.org/U29R77EBX0) dibawah subjek Projek dan Operasi mencatatkan pinjaman US$300 juta pada 1998 diluluskan pada 18 Julai 1998 dan pinjaman US$244 juta pada 1999 diluluskan pada 30 March 1999 pada kerajaan Malaysia.

Sementara itu dalam lapuran muka depan akhbar milik Umno hari ini Dr Mahathir telah mencabar Anwar bersumpah dengan menjunjung Al-Quran bagi membuktikan kebenaran kenyataan Anwar.

Menjawab cabaran tersebut Anwar berkata "eloklah dia (Dr Mahathir) meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel."

Khamis lalu ketika memberikan ucaptama berhubung Program Tranformasi Ekonomi kepada diplomat asing dan para duta di Kuala Lumpur, Anwar berkata Dr Mahathir mendapatkan pinjaman dari Bank Dunia ketika tahun 1998/99 walaupun menafikannya kepada rakyat.

Penafian Dr Mahathir berhubung pinjaman tersebut mempunyai hubung kait dengan populariti Anwar yang mendapat pengiktirafan beberapa badan dunia pada ketika itu.

Anwar pada ketika itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Populariti Anwar tersebut dianggap mencabar posisi Dr Mahathir sebagai pemimpin negara. Malah dibimbangi pengaruh populariti timbalan beliau tersebut akan menenggelamkan beliau dimata rakyat jelata.

Tindakan Dr Mahathir berbohong kepada rakyat berhubung menolak bantuan dari Bank Dunia disamping cubaan memburuk dan melebel Anwar sebagai agen kuasa asing disebabkan ketakutan Dr Mahathir terhadap imej Anwar diperingkat antarabangsa yang semakin menyerlah.

Menurut kenyataan media oleh Ibu Pejabat PKR, berdasarkan rujukan pada pautan laman web Bank Dunia tersebut adalah bukti jelas betapa Tun Dr. Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau yang terdahulu.


Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular