Selasa, 20 Disember 2011

Skandal Baru NFC: Kondo Mewah Di Singapura bernilai RM9.9 juta

PETALING JAYA 20 DIS: PKR menemui bukti baru berhubung penyelewengan yang dipercayai dari wang peruntukan dari Projek Fitlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bukti tersebut berhubung bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.

Kondominium tersebut dibeli pada harga S$4,107,600 yang berkeluasan 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Dalam sidang media tengah hari tadi, Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata nilai pembelian tersebut dianggarkan bersamaan dengan RM9.9 juta pada kadar tukaran wang semasa urusniaga berlaku.

Menurut Saifuddin, Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Dato' Seri Mohamad Salleh Ismail (suami Shahrizat) dan dua anak mereka, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

"Pendedahan ini melengkapkan dakwaan PKR sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC.

"Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC." kata Saifuddin

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Sebelum ini, PKR membongkar pembelian dua kondo mewah di One Menerung yang didaftarkan di atas nama syarikat National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd iaitu syarikat yang juga dimiliki oleh keluarga Shahrizat.

Selain itu turut dibongkar berhubung dana berjumlah RM 3,363,507 telah disalurkan melalui National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NMLC) oleh NFC untuk membeli dua bidang tanah di Presint 10, Putrajaya di tapak PT 1886 dan PT 1887.

Dalam sidang media tersebut PKR menyeru supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin.

sidang media tersebut turut dihadiri Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular