Rabu, 29 Februari 2012

Pas timbang formula selesai 'krisis Exco' esok

G MANIMARAN
29 Februari 2012

SHAH ALAM - Naib Presiden, Salahuddin Ayub akan membentangkan beberapa formula penyelesaian pada mesyuarat khas jawatankuasa kerja Pas Pusat di ibu negara malam esok untuk mengatasi 'kemelut' kepimpinan Pas Kedah, perkembangan yang dilihat bakal menjadi ujian besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Pakatan Rakyat (PR), yang dianggotai Pas-PKR dan DAP, mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dengan memenangi pilihan raya umum lalu.

"Ya, saya ada formula, ya, boleh dikatakan sebagai formula, satu dua formula hasil kunjungan saya ke Kedah selama dua hari," kata Salahuddin ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, mesyuarat esok diadakan khusus bagi membincangkan kemelut yang melanda kepimpinan Pas Kedah melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang juga pemimpin kanan parti itu peringkat negeri.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat esok akan dapat membantu menyelesaikan perkembangan di Kedah, Salahuddin memberitahu, "saya akan membentangkan hasil pertemuan saya dengan kepimpinan negeri. Terserah kepada mesyuarat esok untuk memutuskan langkah-langkah penyelesaian."

"Saya serah kepada mesyuarat penuh esok, kesemua ahli jawatankuasa akan hadir, terpulang kepada mereka membuat langkah-langkah yang perlu diambil," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini ketika ditanya sama ada formula itu termasuk meminta dua Exco Kerajaan Negeri yang telah menolak tawaran pelantikan bagi penggal 2012 mengkaji semula pendirian mereka.

Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian yang disiarkan hari ini, Salahuddin menyifatkan pertemuan beliau dengan dua pemimpin Pas Kedah semalam membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Azizan dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kehadiran Salahuddin di Kedah bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung pagi semalam.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular