Rabu, 30 Jun 2010

Sperma Tidak Normal ( mandul )


oleh Suzan Ahmad

Kebanyakan lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah. Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan.



Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal, amat jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan. Namun apa yang memeranjatkan, kebanyakan kes atau kebanyakan kes yang dirujuk di pusat perubatan kesuburan membabitkan ketidaksuburan lelaki.

Wanita Dipersalahkan

Malah dalam kebanyakan kes, setiap kali keguguran berlaku wanita biasa dipersalahkan. Jika telur normal tetapi sperma pula tidak, 'kecacatan' sperma inilah yang boleh mengakibatkan keguguran. Kebanyakan lelaki di Malaysia sedar mengenai masalah ketidaksuburan, tetapi tidak mahu memandang serius mengenainya.

Akibatnya, si isteri yang datang bertemu doktor terlebih dulu untuk membuat pemeriksaan sebelum menerima berita yang lebih mengejutkan yang kadangkala tidak dapat diterima suami.


Ujian Sperma

Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal.

Antara persoalan yang diambil kira ujian sperma adalah seperti selepas satu jam, berapa peratusan sperma yang bergerak? Selepas 3 jam apa berlaku dan adakah sampel itu dijangkiti virus ?

Bilangan Sperma

Bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta bergantung kepada pusat perubatan kesuburan.

Apapun, bagi membolehkan wanita hamil, kita hanya perlukan satu sperma yang sihat saja. Kita perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu mempunyai bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90% adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50% daripadanya tidak normal.


Pergerakan Sperma

Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60% yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati.

Bentuk Sperma

Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan.


Faktor Tidak Normal

Penyebab utama dan paling biasa menyumbang kepada sperma yang tidak normal adalah tekanan. Ia agak subjektif untuk dibincangkan namun ada yang mengatakan bila kita dilanda tekanan bilangan sperma akan berkurangan.

Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap 1 mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa. Kajian mendapati lelaki yang dilahirkan sekitar 1960-an mempunyai jumlah sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan pada 1970-an.

Banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, rokok , urat darah varicocele dalam skrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol ,obesiti dan testis yang tidak normal.


Rawatan

Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal, pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya.

Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian beradas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI).

Cara Meningkatkan Sperma

* Amalkan gaya hidup dan diet semimbang ( sayur dan gandum).
* Bersenam.
* Kurangkan tekanan.
* Jaga berat badan.
* Berhenti merokok.
* Kurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol.
* Jauhi najis dadah.
* Jarakkan kekerapan ejakulasi (selang tiga hari).
* Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar.

Pengikut

ARTIKEL SEBELUM INI

Catatan Popular